| PERTEMPURAN KLAS ATAU PERTELINGKAHAN PERKAUMAN! |
|
|
|
| Friday, 02 November 2007 | |
![]() ![]() KEJADIAN KAMPUNG RIMBA JAYA Para peneroka kampung Rimba Jaya , telah meneroka , membina rumah dan menduduki kampung sejak 30 tahun yang lalu . Pada awalnya Rimba Jaya merupakan salah satu perkampungan peneroka yang besar di Selangor dengan lebih 1000 keluarga . Kampung ini diduduki oleh lebih 80 % keluarga Melayu dan selebihnya keluarga India dan lain –lain. Sejak tahun 2003 , pemaju swasta Khidmat Tulen Sdn.Bhd telah merancang untuk membangunkan tanah yang diduduki oleh rakyat peneroka ini . Khidmat Tulen Sdn.Bhd telah mempergunakan jentera Kerajaan Tempatan , Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk mengusir secara paksa dan merobohkan rumah peneroka Kampung Rimba Jaya . MBSA telah menggunakan Ordinan Darurat , 1969 Pembersihan Setinggan untuk merobohkan 12 buah rumah peneroka yang betul –betul berada ditapak projek Khidmat Tulen Sdn.Bhd. Apabila kes diperdengarkan diMahkamah Tinggi Shah Alam pada 6hb November 2003, pihak MBSA telah membongkarkan bahawa pihak Kerajaan Negerilah yang memberikan arahan untuk perobohan dan bukannya tuanpunya tanah swasta tersebut . Sejak itu para peneroka Rimba Jaya telah menyedari penyelewengan yang telah mula berlaku terhadap mereka . Mereka mula memahami bagaimana , Kerajaan Negeri dan pemaju korporat swasta berganding bahu untuk merampas tanah yang mereka telah duduki selama 30 tahun ini . SETINGGAN SIFAR - PENGUSIRAN PAKSA DIPERGIATKAN Pada tahun 2005 , Exco Perumahan dan Setinggan Kerajaan Negeri Selangor , Dato’Mokhtar Dahalan telah mempergiatkan operasi perobohan rumah. Kerajaan Negeri telah menetapkan tarikh 27hb Ogos , 2005 sebagai tarikh multamat untuk menyelesaikan operasi ini . Kerajaan Negeri pada masa itu amat bergiat untuk mengelar Selangor sebagai sebuah Negeri Maju . Justeru itu mereka ingin merobohkan semua perkampungan peneroka dan mengusir rakyat ke rumah pangsa sarang burung . Perjuangan bertubi –tubi oleh Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan , JERIT termasuk Kampung Rimba Jaya berjaya menangguhkan proses perobohan ini . Demonstrasi besar-besaran semua kampung Peneroka pada 14hb September, 2006 diParlimen serta protes di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan , akhirnya berhasil apabila Kerajaan Negeri bersetuju mengadakan perbincangan dengan kampung –kampung terlibat . KERAJAAN NEGERI , CAKAP TAK SERUPA BIKIN Pada 2 hb November 2006, Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor , Dato Ramli Mahmood telah berjanji untuk menyelesaikan masalah pengusiran paksa kampung peneroka bandar terutamanya Kampung Rimba Jaya , Kg. Berembang (Ulu Klang), Kg. Temenggung(Gombak), Kg. Papan (Port Klang) dan Kg.Saujana (Shah Alam) Perjumpaan dengan Dato SUK ini adalah berikutan dengan hasil perjumpaan Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan di bawah naungan JERIT dengan Dato Seri Ong Kah Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 4 Oktober 2006 yang lalu . Pada mesyuarat tersebut , Dato’ SUK telah berjanji akan menghentikan pengusiran paksa terhadap Kampung Rimba Jaya memandangkan rumah alternatif mereka belum dibina lagi Walaupun kenyataan Dato Ramli Mahmud seolah-olah memberikan suatu harapan baru kepada peneroka Rimba Jaya pada ketika itu , tetapi tindakan Mahkamah MBSA telah berterusan . PEROBOHAN PERTAMA – 6 hb Mac , 2007 ! Selepas peneroka Rimba Jaya telah kalah di Mahkamah Rayuan , mereka telah menfailkan rayuan mereka . Walaupun rayuan mereka dttetapkan untuk didengar pada 14hb Mac , 2007 di Mahkamah Persekutuan , tetapi MBSA pada 6hb Mac , 2007 dengan kejamnya telah merobohkan 11 buah rumah peneroka Rimba Jaya . Dalam operasi perobohan rumah secara haram yang dijalankan oleh MBSA ,ianya berakhir dengan perobohan 11 buah rumah dengan bantuan FRU dan Polis serta 32 orang telah ditangkap kerana mempertahankan rumah daripada diroboh dan empat orang cedera parah kerana dibelasah polis . Seorang penduduk, Azhari Osman cedera di telinga selepas dipijak anggota FRU dan ditendang di bahagian rusuk kiri, aktivis PSM Subang , Kumaraval a/l Subrayam ditendang dimuka, dan cedera di kepala manakala seorang mangsa tangannya dihentak senjata api (raifel) . Kejadian berdarah tersebut adalah berakibat daripada sikap angkuh pihak polis telah mengambil tindakan sendiri tanpa menghormati hak penduduk membuat rayuan di Mahkamah . MOKTHAR DAHALAN LEBIH BERKUASA DARIPADA MAHKAMAH Tindakan dan perangai Kerajaan Negeri mengendalikan isu perumahan peneroka Kampung Rimba Jaya, sejak tahun 2003 secara jelas menunjukkan keangkuhan Kerajaan . Apabila kuasa ditangan mereka , mereka secara terus terang menyalahgunakan undang –undang Ordinan Darurat , 1969 . Kerajaan Negeri bertungkus lumus melakukan pengusiran untuk pihak swasta . Jentera Kerajaan , MBSA , polis FRU digunakan untuk kepentingan pemilik tanah swasta . Projek kapitalis , pemaju , keuntungan menjadi lebih penting daripada isu perumahan golongan miskin . Tambahnya pula , peringkat penyelewengan dan korupsi mencapai tahap tertinggi apabila Mokhtar Dahalan memberi amaran kepada peneroka bandar bahawa , jika mereka membuat rayuan dimahkamah , mereka tentu akan kalah . Apabila ditanya oleh para pemberita mengenai Rimba Jaya , disuatu majlis , Dato ‘Mokhtar Dahalan telah memberi ‘nasihat berbau ugutan ‘ kepada peneroka supaya jangan harapkan kepentingan mereka akan dijaga di Mahkamah . KILANG HARAM BOLEH , RUMAH PENEROKA TAK BOLEH ! Apabila kepentingan wang ringgit mengkaburi pemikiran , Kerajaan Negeri memperkenalkan polisi –polisi yang sungguh berat sebelah dan tidak masuk akal . Pada 12 hb Mac , 2007 , Datuk Seri Mohd Khir Toyo telah membuat keputusan untuk men’sah’kan sebanyak 3,700 kilang haram di Negeri Selangor . Tambahannya pula pemilik kilang akan diberikan 50% diskaun atas bayaran premium penukaran tanah . Tidaklah sukar , untuk memikirkan hubungan rapat diantara pemilik kapitalis kilang dengan pegawa-pegawai Kerajaan Negeri . Berbanding dengan perumahan peneroka miskin , sebuah kilang haram yang dibina tanpa pelan struktur yang sah , tanpa siasatan Jabatan Alam Sekitar dan tanpa kelulusan agensi –agensi Kerajaan yang sepatutnya , harus di robohkan . Kilang –kilang mungkin akan menjejaskan alam sekitar dan menimbulkan masalah keselamatan kepada penduduk persekitaran . Tetapi diantara kelas pemerintah dan kelas kapitalis semuanya boleh dibereskan . Rakyat yang menjadi mangsa ialah kelas pekerja , golongan miskin peneroka . MAHKAMAH GAGAL MENJAGA HAK RAKYAT ! Pada 4hb April , 2007 seramai 300 peneroka dari 12 kampung , Kg. Rimba Jaya , Kg. Sri Kenangan, Kg, Papan, Kg. Fajar, Kg,. Dato Harun, Kg,. Chupadak, Kg, Spooner, Kg, KTM, Kg DBI dan Kg Sungai Siput telah berkumpul dihadapan Palace of Justice , Putrajaya untuk menuntut hak mereka sebagai peneroka bandar dijamin oleh mahkamah iaitu institusi kehakiman. Perhimpunan ini dianjurkan oleh Gabungan Peneroka Bandar & Perumahan, JERIT bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) . Sejak kebelakangan , pihak hakim telah memberikan beberapa keputusan kes peneroka yang memihak kepada pemilik tanah swasta dan Kerajaan Tempatan . Hakim Mahkamah seolah –olah gagal mempertimbangkan hak dan aspek sosial kaum peneroka bandar . Walaupun peneroka telah membangunkan sesebuah tanah itu , hakim hanya membuat keputusan berdasarkan siapa yang mempunyai hak milik tanah tersebut . Kes Rimba Jaya yang telah berlangsung hingga ke Mahkamah Persekutuan juga menerima nasib yang sama . Pada 31hb Julai , 2007 , Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Kerajaan Tempatan sememangnya boleh menggunakan Aturan 10 , Ordinan darurat , 1969 untuk merobohkan rumah peneroka dan mengusir mereka dengan kejam . SUHAKAM GAGAL MENENTANG PENGUSIRAN PAKSA Pada hari ini , 31hb Oktober , 2007 , pihak Suhakam Datuk Denisan Jayasooria mengeluarkan kenyataan mengecam perobohan kuil di Kampung Rimba Jaya .Malangnya beliau gagal memahami bahawa sebelum kuil tersebut dirobohkan , sebanyak 170 lebih rumah peneroka ( yang majoritinya kaum Melayu ) telah dirobohkan . Sebuah surau penduduk juga telah dirobohkan dalam operasi yang sama . Kenyataan yang sama mengatakan bahawa , beliau akan berusaha untuk mendapat persetujuan Suruhanjaya untuk mengadakan suatu siasatan awam ’public enquiry ’ mengkaji isu perobohan kuil tersebut . Tetapi , pada 6hb Jun 2006 yang lalu , pihak JERIT bersama Kampung Rimba Jaya telah menyampaikan memorandum kepada pihak Suhakam , mendesak Suhakam agar suatu siasatan awam diadakan untuk menhentikan pengunaan Ordinan Darurat , 1969 dan menghentikan pengusiran paksa . Walaupun masalah ini telah diungkitkan , lebih daripada setahun yang lalu , tetapi pihak Suhakam gagal membela kepentingan penduduk . Adakah kejadian pengusiran paksa rakyat miskin , tanpa mengira kaum , samada Melayu atau India menjadi kurang penting daripada isu perobohan tempat ibadat ? Apakah jawapan Suhakam kepada mereka , para peneroka Melayu dan India yang telah dibelasah , dipijak dan ditahan FRU dan polis kerana sama –sama berganding bahu mempertahankan kampung mereka ? ISU PERKAUMAN ???? Kini , muncul juga beberapa pihak , yang sebelum ini tidak pernah bersama perjuangan peneroka sejak tahun 2003 , yang cuba memesongkan tragedi Kampung Rimba Jaya . Mereka ini tidak hadir apabila para peneroka mengadakan pelbagai demonstrasi di Kerajaan Negeri Selangor dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengutarakan hak perumahan mereka . Mereka ini tidak peduli apabila 32 orang peneroka bersama dengan aktivis di belasah dan ditahan oleh polis pada 6hb Mac , 2007 yang lalu . Mereka ini tidak bertahan apabila ,lebih 170 rumah peneroka bandar diranapkan dan para penduduk Rimba Jaya terpaksa mencari tempat berteduh alternatif . Tetapi , tiba –tiba pada 30hb Oktober , 2007 , sebaik sahaja kuil dirobohkan , muncul pula hero –hero ini yang mewujudkan sentimen perkauman . Kononya pihak polis , MBSA ’ muslim ’ telah merobohkan kuil Hindu dengan kejamnya . Bagaimana pula dengan surau ? Kerana sebenarnya , surau juga dirobohkan oleh pihak MBSA ’muslim ’ dengan bantuan pihak polis ’muslim ’ atas arahan Menteri Besar ’ muslim ’ ! Pemikiran sempit pihak ini harus ditentang . Presiden MIC , Dato Seri Samy Velu juga telah bergesa –gesa ke tempat kejadian , kononya untuk memberhentikan perobohan itu . Tidakkah pihak-pihak ini dapat lihat berpuluhan keluarga yang berdiri dijalanraya tanpa rumah untuk berteduh ?? Kenapa isu perobohan kuil sahaja di pertikaikan ? PERJUANGAN DIANTARA MISKIN DAN KAYA BUKAN PERKAUMAN ! Tragedi Rimba Jaya dengan jelas menunjukkan sejak tahun 2003 , ianya adalah suatu pertempuran diantara pihak yang berkuasa , berkomplot dengan kapitalis , pemaju , pemilik tanah untuk menindas , menghalau kaum peneroka miskin , tanpa mengira samada mereka ini Melayu atau India . Peneroka bandar samada Melayu , Cina atau India ditimpa oleh nasib yang sama . Penyelewengan harus ditentang , ketamakan golongan pemerintah bersama kroni-kroni kapitalisnya perlu ditentang . Perkara pertama penting yang harus dibantah ialah percubaan sesetengah pihak untuk memutarbelitkan fakta dan memesongkan pandangan orang ramai agar , tragedi Kampung Rimba Jaya menjadi suatu isu kejaman Kerajaan muslim terhadap penganut Hindu . Agenda ini adalah amat merbahaya . Ianya akan memecahkan perpaduan golongan tertindas . Rakyat peneroka dan pekerja daripada berbilang kaum adalah satu-satunya kuasa yang boleh menewaskan Kerajaan pro-kapitalis ini dan pihak korporat yang mementingkan keuntungan . KAUM TERTINDAS BERSATU ! MENENTANG KEKEJAMAN KAPITALIS ! A. Sivarajan Parti Sosialis Malaysia (PSM) |
|
| Last Updated ( Friday, 02 November 2007 ) |









