PENDUDUK FLATS TAMAN PERMATA KE PNSB:TUNTUT RUMAH SELESA PDF Print E-mail
Monday, 21 December 2009

Pada 15/12/2009 lebih kurang 50 orang wakil penduduk Flats Taman Permata, Dengkil yang tidak puas hati dengan perumahan alternatif yang di sediakan oleh PNSB yang telah protes di hadapan Pejabat PNSB di Wisma MBSA. Tuntutan mereka ialah “Perumahan Selamat dan Selesa”.

 


Siapa Penduduk Flats Taman Permata ini ?

 

Penduduk Flats Taman Permata ini adalah bekas pekerja ladang dari 4 buah ladang iaitu Ladang Perang Besar, Medingley, Galloway dan Sedgley yang  telah dipindahkan ke flat Taman Permata Dengkil pada tahun 1998 untuk memberi laluan kepada  pembangunan Putrajaya dan Cyberjaya.

 

Hampir sepuluh tahun mereka telah tinggal di Flat Taman Permata dengan menghadapi pelbagai masalah daripada masalah keselamatan akibat paip gas yang berhampiran dengan flats, hingga ke masalah sistem kumbahan yang tidak dibuat dengan betul. Maka kehidupan penduduk di Flats Taman Permata setiap hari ada masalah baru.

 

Protes dimulakan pada jam 11.00 pagi dengan slogan-slogan seperti Putrajaya Mewah Kami Merana, Kami mahu rumah selasa, PNSB abai kami dan sebagainya. Pada jam11.30 pagi sebanyak 10 orang delegasi telah dijemput untuk naik atas untuk bertemu dengan pegawai yang bertugas.

Dalam mesyuarat yang diadakan bersama dengan En. MD. Yunus Iskandar yang merupakan pengurus projek jelas nampak sikap cuci tangan PNSB yang menyatakan pelbagai alasan-alasan untuk melepaskan tanggungjawab mereka mengenai keadaan flats. En Md Yunus mengatakan bahawa beliau mempunyai pengetahuan mengenai masalah yang dihadapi oleh Penduduk Taman Permata, Dengkil kerana beliau sendiri pernah membuat lawatan beberapa kali ke Flats tersebut dan telah menuduh bahawa keadaan flats pada hari ini adalah disebabkan oleh sikap penduduk sendiri bukan disebabkan oleh kegagalan PNSB menjalankan tanggungjawab.

 

Beliau telah menyatakan bahawa PNSB hanya telah bertindak sekadar agen penjual bagi Kerajaan Negeri Selangor dan tidak ada apa-apa kaitan dalam pembinaan flats.  Beliau juga telah menyatakan bahawa hanya sejumlah wang yang sedikit diambil sebagai token daripada bekas penduduk ladang-ladang tersebut dan bukan dikenakan bayaran yang tinggi. Apabila menyoal adakah bayaran RM20,000.00 itu dianggap sebagai token, beliau pula  menyatakan bahawa dia  mahu memeriksa status pembayaran penduduk dengan  bank pula.

Antara yang paling lucu adalah beliau telah memaklumkan bahawa CF telah dikeluarkan kepada semua penduduk pada tahun 1998 dan apabila diminta surat pengakuan penerimaan beliau telah gagal untuk memberi sebarang bukti. Ini adalah kerana sehingga kini, penduduk tidak mendapat CF bagi bangunan tersebut dan atas alasan ini banyak bank yang telah membatalkan pinjaman mereka kepada penduduk.

 

Apabila wakil penduduk terus menekan untuk satu penyelsesaian yang tetap untuk masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka,En MD Yunus Iskandar telah meminta satu bulan untuk memberi respon kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk yang telah dipersetujui oleh para penduduk.  Wakil penduduk juga telah menyerahkan memorandum mengenai isu dan masalah mereka kepada En. MD  Yunus Iskandar yang mengandungi tuntutan-tuntutan mereka dan meminta PNSB bertindak dengan segera.

 

Perjuangan Penduduk Flats Taman Permata, Dengkil baru telah mencetus dan banyak lagi halangan yang perlu dihadapi untuk mencapai rumah selesa yang dituntut. Tahniah kepada Penduduk Flats Taman Permata Dengkil yang telah memulakan perjuangan mereka.

 

 

MEMORANDUM KEPADA

PERMODALAN NEGERI SELANGOR BERHAD (PNSB):

 

 

PNSB HARUS BERTANGGUNGJAWAB SEBAGAI PEMAJU:

SELESAIKAN MASALAH PENDUDUK FLATS SEGERA

 

 

TUJUAN PERJUMPAAN:

 

1.    PNSB adalah pemaju untuk Flats Taman Permata Dengkil dan adalah menjadi tanggungjawab pemaju untuk membuat penyelenggaran kepada segala masalah yang dihadapi oleh Penduduk flat .

 

2.    Sehingga kini, penduduk dimangsakan dan masalah penduduk flats Taman Permata telah dicuci tangan serta isu mereka ditendang dari satu jabatan/ organisasi ke jabatan/ organisasi.

 

3.    Mendapatkan suatu kepastian dan akurjanji daripada PNSB sebagai pemaju projek rumah pangsa ini dalam menyelesaikan isu perumahan penduduk dan tidak memindahkan kepada pihak lain.

 

Pengenalan

 

·         Kami adalah bekas pekerja ladang dari 4 buah ladang iaitu Ladang Perang Besar, Medingley, Galloway dan Sedgley telah dipindahkan ke flat  Taman Permata Dengkil.

·         Kami diusir keluar secara tergesa-gesa pada tahun 1998 untuk memberi laluan untuk pembangunan Putrajaya dan Cyberjaya.

·         Seramai 327 keluarga dari ladang ini iaitu 177 keluarga dari Ladang Prang Besar, 62 keluarga dari Ladang Galloway, 37 keluarga dari Ladang Madingley dan 51 keluarga dari Ladang Sedgeley telah  telah ditempatkan di rumah pangsa kos rendah di Taman Permata , Dengkil.

·         Kami dijanji rumah teres kos rendah tetapi ditipu. Bagi makluman pihak tuan, semasa projek pembangunan Putrajaya dimulakan, penduduk- penduduk ladang ini telah ditempatkan di flat tersebut, dengan janji bahawa tempat ini adalah untuk sementara waktu, sehingga kami dipindahkan ke tempat lain.

 

 

TUNTUTAN KAMI :

 

1.      Kerja-kerja pembaikian dan penyelenggaran flat ini mesti dilaksanakan dengan serta merta seperti senarai masalah dibawah

2.      Perlu ada masa ditetapkan untuk setiap isu ini diselesaikan

3.      Flat yang sedia ada adalah tidak selamat untuk dihuni dan langkah membina rumah alternatif teres untuk penduduk harus dilaksanakan sebagai penyelesaian jangkamasa panjang.

4.      Sehingga rumah alternatif dibina, harus pastikan kemudahan di  Flats Taman Permata, Dengkil disediakan.

 

Kami mempunyai 10 isu seperti berikut :

 

Bangunan Retak

 

1.      Bangunan mengalami masalah retakan. Dinding flats pula mengalami banyak retakan di dalam dan luar rumah serta di bahagian tangga flat. Retakan ini telah wujud sejak awal lagi dan didapati semakin bertambah teruk lebih-lebih lagi selepas berlakunya gegaran di Acheh  pada 26 Disember 2005.  

 

Lubang Di Bawah Blok

 

1.      Penurunan tanah di dasar blok kami dan terdapat juga lubang-lubang besar pada dasar flats. Blok 5 yang dasar tanahnya telah pun turun, meninggalkan ruang kosong sebesar 3-4 kaki di antara blok dan tanah. Kini, blok 5 ini hanya ditahan oleh batang-batang keluli blok yang kelihatan berkarat.

 

2.      Blok 5 flat ini dibina di kawasan yang berpaya. Lubang- lubang ini menakung air sekiranya hujan turun. Terdapat juga  takungan air yang agak dalam  (melebihi 1 kaki) di dasar blok 5 flat ini. Ini bermakna wujud ruang kosong sedalam 3-4 kaki di dasar flat ini,tiada tanah di bawah blok.

 

Gas Paip

 

1.      Terdapat saluran paip gas disebelah flat kami. Paip gas ini mengancam keselamatan penduduk flats. Kami bimbang kalau ada kebocoran paip, letupan paip yang akan megancam keselamatan penduduk disana.  

 

 

Sistem Perparitan

 

1.      Sistem perparitan yang tidak sempurna dan rosak. Setiap rumah tiada perparitan yang sempurna maka air cucian melimpah keluar dan kawasan persekitaran yang sentiasa basah dan becak.

2.      Akibat daripada ini air bertakungan dan menyebabkan pembiakan nyamuk dan ini membawa masalah kesihatan kepada penduduk disini.Takungan air ini juga menjadikan keadaan persekitaran flats busuk dan tidak sihat.

 

 

Kebersihan

 

1.      Pembersihan flats juga tidak konsisten dan persekitaran flats sentiasa tidak bersih.

 

Sistem Kumbahan

 

1.      Sistem kumbahan untuk flats juga sudah rosak dimana apabila air diflush di tandas, air tandas keluar dari dinding tandas. Yang lebih teruk ialah apabila jiran menggunakan tandas dan flush tandas, air keluar dari dinding rumah sebelah.

 

2.      Banyak laporan telah dibuat ke IWK, tetapi nampaknya ia bukan masalah IWK, tetapi masalah pembinaan bangunan.

 

Isu CF

 

1.      Isu CF adalah suatu yang misteri dan penduduk diperbodohkan sehingga kini. CF tidak diberikan dan disembunyikan. Disebabkan tiada CF, pinjaman ramai penduduk telah dibatalkan dan bank lain tidak mahu memberi pinjaman. Maka status rumah dan pemilikannya sekarang terumbang ambing.

 

2.      Kini ada dakwaan bahawa CF ada untuk flats ini tetapi masih belum diserahkan kepada penduduk.  Soalan kami ialah,  bagaimana CF boleh diluluskan untuk Flats yang ada banyak masalah ini ?

 

JANGAN TUNGGU SEHINGGA KEJADIAN BURUK SEPERTI BANGUNAN RUNTUH ATAU KEMATIAN BERLAKU BARU MENGAMBIL LANGKAH.

Last Updated ( Monday, 21 December 2009 )
Share |
Joomla Templates and Joomla Web Sites