Pekerja dimangsakan kerana buat aduan Gaji Minima ! PDF Print E-mail
Thursday, 19 March 2015
17 Mac 2015 – Hari ini satu sidang media dianjurkan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM), Cawangan Seremban di hadapan Wisma Persekutuan Seremban bersama dengan 3 pekerja yang dibuang kerja oleh majikan RT Supply & Services pada 31 Disember 2014.



Puan.Parvathi, Puan Rajeshwary, dan Puan.Krishnaveni adalah tiga pekerja yang dibuang kerja oleh RT Supply & Services pada 31 Disember 2014 tanpa sebarang notis. Puan.Parvathi dan Rajeshwary telah bekerja sebagai pembersih (cleaners) di Sekolah Menengah Datuk Abdullah, Gemencheh, manakala  Puan.Krishnaveni pula telah bekerja sebagai pembersih di Sekolah Menengah Dato’ Mohd Taha, Gemencheh di Negeri Sembilan. Kontraktor RT Supply & Services merupakan majikan untuk ketiga-tiga pekerja.


 
Pada bulan September 2014, sekumpulan pekerja-pekerja pembersih dari Sekolah Menengah Dato’ Mohd Taha buat aduan kepada PSM kerana majikan RT Supply & Services tidak laksanakan undang-undang Gaji Minima RM900 yang dikuatkuasakan mulai Januari 2013. Setelah pekerja fail kes di Pejabat Tenaga Kerja Seremban, selepas itu pekerja dapat semua gaji tertunggak dan gaji baru dimulakan mulai Okrober 2014.

 

Selepas itu, majikan RT Supply & Services dengan niat jahat berhentikan kerja 3 pekerja ini yang aktif mainkan peranan dalam tuntutan Gaji Minima.  Kini mereka sudahpun failkan kes di Pejabat Tenaga Kerja bagi isu pembuangan yang tidak sah. Majikan ini juga telah potong caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dari Gaji pekerja tetapi tidak dimasukkan dalam tabung untuk sepanjang tahun 2014. Inipun telah difailkan kes di KWSP dan PERKESO di Seremban. 


Sidang media hari ini diharap memberi sedikit teguran kepada majikan RT Supply & Services untuk hadir kes di Pejabat Tenaga Kerja pada hari khamis 19-3-2015 dan menyelesaikan pampasan pekerja. Sudah 3 bulan keluarga tiga pekerja ini menghadapi kesusahan tanpa kerja. Ada lagi 7 pekerja lain juga dibuang kerja oleh majikan ini di sekolah-sekolah lain tapi mereka tidak berani hadir ke hadapan.

 

Tiga pekerja ini berani sedia berjuang untuk memberi satu pengajaran kepada majikan RT Supply & Services supaya tidak boleh sewenang-wenang pecat pekerja.


 

Juga, pekerja-pekerja ini pernah mengadu penganiyaan ini kepada pentadbiran sekolah yang mereka kerja, tetapi pihak sekolah cuci tangan dengan jawapan “kontraktor adalah majikan anda dan kita tidak kena mengena isu ini”. RT Supply & Services  pula kata mereka tidak bertanggungjawab dan menuduh kontraktor baru yang ambilalih mulai Januari 2015.

Inilah masalah besar dengan isu Kontraktor untuk buruh. Apabila perhubungan majikan dan pekerja dipisahkan dan orang tengah seperti kontraktor-kontraktor buruh  ini pasti akan melarikan diri. Inilah sebab utama kita menunjukkan bantahan serius kepada kerajaan terhadap pindaan “kontraktor untuk buruh” dalam Akta kerja 1955 pada tahun 2011, di mana memberi iktirafan kepada kontraktor-kontraktor yang menjadi orang tengah, yang tidak memiliki aset, modal dan apa-apa pemilikan di sebuah syarikat.

 

Hari ini 3 pekerja keluar menuntut hak mereka yang dianiyayai kerana sistem kontrak, dan di seluruh negara bepuluh-puluh ribu pekerja yang sedang menghadapi masalah yang sama. Pekerja  nadi pembangunan. Jangan mangsakan mereka kerana mereka menuntut apa yang sepatutnya dinikmati oleh mereka.

Ditulis oleh,
M. Sivaranjani
Gabungan Pekerja Kilang & Kesatuan, Jerit

 

 

Share |
Joomla Templates and Joomla Web Sites
link