APA LOGIK? HARGA MINYAK TURUN,TAMBANG PENGANGKUTAN AWAM NAIK! PDF Print E-mail
Friday, 20 March 2015

Bila harga minyak naik, harga barang dan kos pengangkutan naik !, Bila harga minyak turun, harga barang dan tambang bertambah naik ! Apa logik dan rasionalnya?  

Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) amat terkilan dengan tindakan pihak Kerajaan menaikkan tambang teksi, bas dan KTMB dari 20% hingga 67%. Hanya sebuah kerajaan yang sudah tidak waras akan melakukan perkara seumpama ini. Kerajaan BN jelas sudah hilang pertimbangannya dan terus menggasak rakyat marhein.

 

JERIT membantah sekeras-sekerasnya kenaikan tambang pengangkutan awam kerana sebab-sebab berikut:

1.  Mulai 1 April 2015, GST akan dilaksanakan. Menurut pihak berkuasa dan Bank Negara Malaysia, harga barang akan naik setelah perlaksanaan GST sebanyak 6%. Kita juga tahu barang yang dikecualikan GST masih tetap akan naik harganya sebab kesan rantaian. Dengan kenaikkan tambang pengangkutan awam dan adanya GST, kos akan meningkat berlipat kali ganda.

 

2.  Gaji minima masih belum dinaikkan. Pada tahun ini, gaji minima harus dinaikkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara. Malangnya disebabkan oleh tentangan hebat oleh pihak majikan, pihak kerajaan tidak berani untuk menaikkan gaji minima ini.

 

3. Kadar gaji secara umumnya juga tidak meningkat. Kadar gaji yang dibayar di Malaysia hanyalah 30% daripada GDP Negara. Angka ini tidak banyak naik sejak tahun 1970an lagi. Ini bertentangan sama sekali jika dibandingkan dengan kadar kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

 

 

4. Lebih ramai orang akan menggunakan kenderaan sendiri apabila tambang pengangkutan awam naik. Lebih-lebih lagi apabila harga minyak secara relatifnya lebih rendah sekarang. Ini akan menyebabkan kesesakan lalulintas yang teruk.

 

5. Penggunaan kenderaaan sendiri juga akan menambahkan pencemaran alam. Malaysia adalah antara negara tertinggi dalam perlepasan karbon dioksida (CO2) apabila dinilai secara per kapita. Perlepasan per kapita kita adalah 7 metrik per tan pada 2010 menurut Bank Dunia berbanding 1.7 metrik per tan untuk  India dan  6.2 untuk China dan 1.2 untuk Indonesia serta 0.9 tan per kapita di Filipina. Sudahlah keadaan cuaca sekarang tidak menentu kerana perubahan iklim sedunia.

 

JERIT juga terkejut dengan tindakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mengumumkan kenaikan tambang ini. SPAD yang seharusnya bertanggungjawab untuk perkhidmatan pengangkutan awam yang murah dan efisien berpaling tadah dan bersekongkol dengan pihak kerajaan untuk menggasak rakyat.


Ada juga pihak termasuk pemimpin UMNO yang mengatakan kenaikkan tambang ini adalah satu percaturan politik untuk menumbangkan Perdana Menteri Najib yang sudah hilang kawalan dalam pertadbiran Negara. Apa jua percaturan politik ini, yang menjadi mangsa adalah rakyat marhein.

 

Hentikan kekejaman terhadap rakyat ! Batalkan Kenaikan Tambang, Batalkan GST !

 

Disediakan oleh,

 

Nalini M

Penyelaras JERIT

0192275982

 

Share |
Joomla Templates and Joomla Web Sites
link