DEKLARASI MEI 1, 2015 PDF Print E-mail
Thursday, 03 September 2015

Tahun 2015: Tahun Bantah Cukai GST iaitu Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Kerajaan BN telah mengimplementasikan system Cukai GST walaupun bantahan berterusan dari rakyat.


Cukai GST telah menyebabkan semua harga barangan dan perkhidmatan naik, walaupun Kerajaan menyatakan sebaliknya. Ini kerana, sebelum sesuatu barang sampai kepada pengguna, ia melalui banyak proses penyediaan, semua proses penghasilan melibatkan pembayaran cukai GST. Ini secara tidak langsung menaikkan harga barangan pengguna pada akhirnya.


Rakyat Malaysia khususnya kaum pekerja merana akibat perlaksanaan Cukai GST ini manakala  kerajaan terus  memberi alasan yang tidak munasabah dalam melaksanakan cukai GST ini. Namun bila tiba masa naikkan Gaji Minima, pelbagai alasan diberi untuk TIDAK menaikkan Gaji Minima. Lebih memalukan ialah setelah 2 tahun implementasi Gaji Minima RM 900, pekerja kerajaan ada yang masih tidak mendapat gaji minima RM 900.  Kerajaan yang pro-korporat ini sungguh beria-ia mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan bagi mereka yang berpendapatan tinggi dan sanggup membebankan rakyat biasa dengan cukai GST. Malah bagi mengalihkan perhatian dari korupsi dan penindasan yang dilakukan oleh kerajaan, isu -isu perkauman dimainkan dan digunakan untuk memperbodohkan rakyat .

Cukup Sudah ! Rakyat Tidak Boleh Diperbodohkan Lagi. 


BATALKAN Cukai GST & Tingkatkan Gaji Minima ke RM 1500

 

TUNTUTAN-TUNTUTAN

1.      BATALKAN CUKAI BARANGAN DAN PERKHIDMATAN (GST) yang menindas rakyat.

2.      Hentikan Rundingan Trans Pasifik Partnership Agreement (TPPA) yang akan mengakibatkan Jajahan Ekonomi & memberi impak negatif kepada pelbagai industri tempatan

3.      Mengkaji semula gaji minima, melaksanakan Gaji Minima RM 1500 dan COLA ( Cost of Living Allowance) untuk menghadapi kenaikkan kos hidup.

4.      Hak Kesatuan Sekerja – Hormati semangat keharmonian industry  dengan memperkasakan kesatuan sekerja. Pihak majikan harus hentikan aktiviti menghancurkan kesatuan sekerja di Negara ini.

5.      Hak Pekerja Wanita – Hentikan segala bentuk diskriminasi dan keganasan terhadap wanita.Majikan,Kerajaan dan Mahkamah perlu menegakkan hak wanita dan melaksanakan konvensyen berkaitan Penghapusan segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW). Hentikan gangguan seksual di tempat kerja, dengan menggubal Akta Gangguan Seksual yang komprehensif.

6.      Hak Pekerja Migran – Pekerja migran harus diberikan hak yang saksama dan perlindungan  yang mencukupi. Hentikan eksploitasi – keadaan kerja yang tidak selamat, waktu kerja yang panjang, tiada latihan kemahiran, hak kesihatan tidak terjamin serta tiada perwakilan kesatuan sekerja.

7.      Hentikan Penswastaan Perkhidmatan Asas  - Air, elektrik, kesihatan, pengangkutan awam, pendidikan tidak harus diswastakan demi keuntungan. Ianya satu perkhidmatan yang harus disediakan oleh Kerajaaan. 

8.      Kebebasan Media – Media utama dan alternatif harus diberi kebebasan untuk memberi maklumat sebenar kepada rakyat. Maka, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang menyekat kebebasan ini harus dimansuhkan.

9.      Kawal Harga Barang -  Kawal kenaikan harga barang dan perkhidmatan termasuk harga minyak dan berikan semula subsidi kepada rakyat.

10.  Hak Pelajar – Mansuhkan AUKU, PTPTN dan semua akta yang mengongkong kebebasan akademik mahasiswa. Berikan pendidikan percuma kepada semua pelajar.

11.  Hak Orang Asal - Iktiraf Hak Tanah Adat Orang Asal di Malaysia dan berikan hak milik kekal serta kukuhkan status tanah Rizab Orang Asal di Malaysia (Semenanjung, Sabah dan Sarawak). Rancangan pembangunan tanah Orang Asal hendaklah berasaskan kehendak, keperluan dan aspirasi Orang Asal.

12.  Alam Sekitar – Hentikan projek yang memudaratkan kesihatan rakyat Malaysia seperti Lynas, Insinerator, Loji Nuklear dan lain-lain. Gunakan tenaga alternatif yang bersih dan murah.

13.  Perumahan Selesa – Hentikan pengusiran paksa terhadap masyarakat marhain termasuk peneroka bandar, orang asal dan pekerja ladang. Skim Perumahan Rakyat pada harga yang mampu dibeli, lokasi strategik dan selesa harus dilaksanakan. 

14.  Mansuhkan Akta POTA ( 2015) dan Akta Hasutan (1948) berserta segala undang-undang yang menindas rakyat

15. Hak Bekerja Orang Kelainan Upaya (OKU) harus dipastikan. Skim pekerjaan yang memberi peluang pekerjaan untuk OKU harus digubal.

 16. Laksanakan Jaminan Perlindungan Sekuriti Sosial untuk semua termasuk Skim Pencen dan Tabung Pemberhentian Kerja untuk semua.

 

17. Hentikan Diskriminasi Berasaskan Gender dan Orientasi Seksual. Mansuhkan undang-undang dan polisi yang mengakibatkan diskriminasi sedemikian.

Last Updated ( Thursday, 03 September 2015 )
Share |
Joomla Templates and Joomla Web Sites
link